Dunia bukan matlamat.

Salam semua.

Manusia dan kehidupan adalah suatu perkara yang sememangnya tidak dapat dipisahkan, semua manusia yang hidup dan diberi nafas oleh Allah terpaksa melayani kehidupan, mereka melayani dan menguruskannya mengikut kepercayaan dan tanggapan masing-masing terhadap kehidupan yang sedang mereka hayati setiap saat dan setiap detik masa yang sentiasa bergerak. Manusia dijadikan di dalam keadaan jahil dan serba tidak mengetahui walau pun dibekalkan akal kerana akal tidak mampu memikirkan segala-segalanya, kemampuan akal terhad. Oleh itu Allah utuskan Rasul untuk membimbing mereka supaya mereka mengetahui apa yang mereka tidak mengetahui sebelumnya. Kehadiran Rasul tidak semua pula yang mempercayainya, malah ada yang menentang rasul-rasul, kehadiran Nabi Muhammad.s.a.w. juga ditentang oleh masyarakatnya pada peringkat awal kerasulannya, akhirnya barulah pengikutnya bertambah secara beransur-ansur setelah melalui berbagai halangan dan rintangan.

Allah mengutuskan rasul semata-mata untuk menerangkan hakikat hidup di dunia ini supaya manusia tidak sesat , justeru mereka akan mengetahui matlamat hidup yang sebenar. Kalau kita merujuk kepada ayat di bawah ini dapatlah kita rumuskan bahawa terdapat tiga perkara yang amat penting dinyatakan oleh Allah kepada hamba-Nya, perkara ini diwahyukan kepada Nabi Muhammad.s.a.w. supaya disampaikan kepada umatnya.

Firman Allah. S.W.T.

Maksudnya
[201]

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.

( Surah al.Baqarah )

Terdapat Tiga Intisari penting di dalam ayat di atas iaitu DUNIA, AKHIRAT dan AZAB NERAKA.

Di dunia Allah memerintahkan hamba-Nya supaya mencari kebaikan/hasanah kerana kebaikan atau hasanah ini akan menjadi bekalan ke akhirat kerana dunia hanyalah wasilah atau perantaraan semata-mata atau disebutkan juga sebagai ladang untuk bercucuk tanam dengan pokok kebaikan dan kebajikan di mana buah-buah tersebut akan dipetik dan ambil di akhirat nanti, di sana nanti akan bersenang lenanglah mereka yang mengikuti jalan ini iaitu jalan yang diterangkan oleh Rasulullah.s.a.w. oleh itu dunia bukanlah matlamat hidup manusia, sebaliknya dunia hanyalah perantaraan untuk ke akhirat yang hasanah tetapi sekiranya mereka menyeleweng dan tidak mengikut panduan yang diberikan Rasulullah.s.a.w. hasilnya mereka akan diazab di dalam neraka di akhirat nanti. Demikianlah dua tempat yang dikhaskan untuk manusia di alam akhirat. iaitu syorga yang hasanah dan neraka yang suk dan azab yang amat pedih. Untuk mendapatkan hasanah/kebaikan di dunia dan akhirat manusia wajiblah berusaha dan menjalani hidup mengikut panduan yang telah disampaikan oleh Rasulullah.s..a.w, disamping berdoa mendaptkan kedua-dua kebaikan tersebut.

Kesimpulannya dunia ini hanya merupakan tempat persinggahan sementara untuk menyediakan bekalan yang akan dibawa ke akhirat, dunia bukan matlamat akhir, dunia juga merupakan perantaraan/wasilah dan matlamat dan lokasi akhir dalam kehidupan manusia ialah akhirat iaitu alam selepas berlakunya kiamat nanti.

Sekian...wallahu aklam.

 

Sejauh manakah kesabaran anak terhadap kerenah ibu bapa ketika ibu bapa sudah tua dan uzur?

Salam semua.

Dari ramai anak-anak yang dimiliki ibu bapa tidak semua dipilih oleh Allah untuk menjaga dan menguruskan ibu bapa, oleh itu ibu bapa juga janganlah pilih kasih di antara mereka, sama ada mereka itu terdiri daripada orang yang berjaya dan hebat, mereka itu belum tentu terpilih untuk memelihara kita ketika tua dan uzur nanti, mungkin yang kita pandang rendah itulah yang akan memelihara dan mengambil berat terhadap kehidupan kita di hujung usia nanti, hal ini banyak juga contoh yang dapat kita lihat dan saksikan............



Catatan:
Beberapa kali, malah berulang kali anak-anak bertanya sesuatu kepada ibu bapa ketika mereka kecil dilayan tanpa jemu dan marah, sebaliknya ibu bapa melayan mereka dengan penuh kasih sayang tetapi malangnya apabila ibu bapa telah tua dan uzur, mungkin ibu bapa telah lemah ingatan apabila ditanya oleh ibu bapa kepada anak berulangkali sama seperti perbuatan anak itu ketika ia kecil dahulu, kini anak tidak lagi sabar dan juga tidak melayannya dengan penuh kasih sayang malah disergahnya orang tua itu.

Walau pun video ini suatu lakonan sahaja tetapi mesejnya sangat mendalam dan menerjah masuk ke dalam sanubari kita ketika sedang menontonnya , lantas rasa kasih sayang kita terhadap ibu bapa terpanggil tetapi perasaan kasih sayang itu belum tentu dapat dikekalkan, wallahu aklam.


Sekian...Wallahu aklam.

 

Peristiwa "BABI" diletakkan di dalam masjid berulang lagi.


Salam semua.

Aku seperti tidak lagi sensitif dengan peristiwa meletakkan sebahagian anggota babi di dalam masjid atau surau kerana terfikir bahawa mereka yang melakukan perbuatan honak dan buruk ini adalah mereka yang tidak pandai berfikir dan memerlukan bantuan nasihat khususnya dalam hal cara berfikir dan pembentukan sikap yang positif. Kalau aku sensitif dan marah akan menggembirakan mereka kerana itulah hajat asal mereka.

Aku juga merasakan respon tanpa sensitif dan emosi ini akan menggagalkan rancangan dan niat buruk mereka. Perbuatan meletakkan babi di masjid itu menggamit dan mengajak orang Islam supaya naik marah dan meluapkan emosi terhadap peristiwa yang kita tidak sukai itu, inilah agaknya hasrat dan niat mereka yang bersusah payah merancang dan terlibat dengan perbuatan honak itu, sekiranya kita mengambil sikap tidak emosi dan sensitif, maka gagal serta punahlah harapan mereka, kita buang dan bersihkan serta samak sahaja tempat atau lantai yang terlibat dengan najis mughallazah tersebut dan kita tanganinya dengan bijaksana dan penuh hikmah serta biarkan pihak polis membuat penyiasatan untuk menentukan siapakah atau pihak manakah yang berniat jahat itu.

Sekiranya orang Islam emosi dan melayan perasaan sensitif terhadap peristiwa ini, situasi dan sikap tersebut akan terperangkap di dalam jerat busuk mereka dan memberi kejayaan percuma kepada mereka ini.Kalau umat Islam tidak emosi dengan kejadian itu, maka gagal serta kecundanglah perancang jahat itu dan negara akan kekal di dalam keadaan aman dan damai.

Klik tajuk di bawah ini untuk pertimbangan seterusnya;

Anjing dan babi hukumnya najis.



Sekian...wallahu aklam.

 

Balai Lintang dan bangku tempat bersembang dan mengumpat.

Salam semua.

Artikel ini sengaja ditulis untuk renungan bersama dan tulisan ini berdasarkan pengalaman dan pemerhatian sendiri. Di masjid atau di surau pada malam-malam yang tiada aktiviti atau kuliah, sebaik sahaja lepas menunaikan solat Maghrib mereka akan berkumpul di satu tempat dan bersembang dan ada juga yang mengambil al.Quran atau kitab yang berada di rak yang disediakan serta membacanya sementara menunggu waktu Isyak. Mereka ini terselamatlah daripada bersembang kosong dan mengumpat. Sebahagian yang lain pulang ke rumah dan kembali semula apabila masuk waktu Isyak iaitu bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan masjid atau surau.

Merujuk kepada perbuatan bersembang di dalam masjid atau surau, sifat bersembang di mana-mana pun susah hendak dielakkan daripada mengumpat orang lain atau pihak yang lain, tetapi, kalau perbuatan ini berlaku di dalam rumah ibadat terutamanya masjid tentulah banyak celanya, sebab itu sesetengah jamaah akan keluar dari masjid atau surau menuju ke bangku atau tempat santai yang sesuai di lokasi berdekatan untuk bersembang, terdapat juga masjid atau surau yang menyediakan bangku untuk jamaah bersantai, inilah yang dimaksudkan bangku tempat mengumpat, ahli jamaah juga yang menamakannya demikian. Mereka sembang macam-macam di bangku ini dari hal peristiwa yang berlaku di kampung sehinggalah hal-hal politik negara, tidak ketinggalan umpat mengumpat diselit bersama sebagai asam garamnya.Sebenarnya di mana-mana pun perbuatan mengumpat itu adalah dilarang oleh ajaran Islam dan haram hukumnya.

Sekiranya ada tanah lapang berhampiran masjid atau surau memang elok dan patut disediakan bangku bersantai. Pada suatu ketika dahulu di masjid-masjid disediakan satu bangunan yang berasingan dengan masjid yang dikenali sebagai Balai Lintang, tempat ini disediakan untuk kaum wanita yang sedang haid ( mereka ini dilarang berhenti di dalam masjid ) oleh itu inilah tempat mereka bersantai atau duduk mendengar kuliah atau bacaan kitab, di sini disediakan pembesar suara ( PA Sistem), oleh itu suara syarahan kuliah dan bacaan kitab dipancarkan ke sini. Kini amalan ini agak diabaikan.


Kalau tidak diwujudkan Balai Lintang ini kaum wanita yang hendak mengikuti kuliah secara bersiri di masjid akan terbantut kuliahnya kerana terdapat hari-hari yang mereka tidak dapat hadir disebabkan halangan atau larangan berada di dalam masjid ketika mereka kedatangan haid.

Sekian... wallahu aklam.

 

Aku baru tahu maksud Haji Ekspres...google

Salam semua.

Aku jarang menonton TV dan membaca akhbar arus perdana oleh itu kekadang aku ketinggalan maklumat/info, walau bagaimana pun terdengar juga di hujung-hujung telinga berita mengenai Haji Ekspres tetapi tidak jelas dan aku biar ianya berlalu, tiba-tiba hari ini aku ingin tahu pula mengenai Haji Exspres ini. lantas aku pun menulis perkataan " haji ekspres " di ruang kecil google dan klik untuk membuat carian maksud perkataan tersebut.

Setelah carian dibuat terjumpalah beberapa maklumat mengenainya, rupanya Haji Ekspres ini adalah mereka yang mendaftar nama untuk pergi menunaikan fardu Haji tidak mengikut giliran untuk disenaraikan sebagai calon yang terpilih dengan menunggu selama beberapa tahun, sebagai contoh, jika didaftarkan pada tahun 2005 maka orang tersebut paling awal akan terpilih untuk pergi mengerjakan Haji pada tahun 2011, kalau tidak pada tahun selepasnya tetapi bagi mereka yang berdaftar pada tahun ini (2012) terpaksa menunggu dalam jarak masa yang lebih lama lagi ( perkara ini ditentukan oleh Lembaga Tabung Haji berdasarkan jumlah pendaftaran dan kuota yang diperolehai dari kerajaan Arab Saudi ), apa yang berlaku kepada mereka yang dikenali sebagai Haji Ekspres ini adalah tidak mengikut giliran yang disebutkan tadi, mereka ini dikatakan mendapat bantuan sindiket tertentu yang rapat dengan Lembaga Tabung Haji, sendiket ini mengatur mereka dengan mengetepikan mereka yang sepatutnya tersenarai dalam kumpulan terpilih kerana telah cukup tempoh menunggu giliran ( kira-kira begitulah agaknya ).

Semasa aku pergi menyerahkan borang tawaran untuk pergi menunaikan fardu haji tempoh hari , aku terdengar juga cerita di mana terdapat mereka yang telah mendaftar lebih lama berbanding dengan mereka yang terpilih atau ditawarkan tetapi mereka kecundang kerana tidak terpilih sedangkan usia mereka telah pun lanjut. Kalau kita congak secara mudah pun akan terasa ada sesuatu yang tidak kena dalam hal pemilihan atau penentuan perkara ini.

Mereka yang pergi mengerjakan Haji menggunakan cara atau jalan pintas dan cantas ini tentulah dilarang oleh Islam kerana mereka merampas hak orang lain, demikianlah ulasan yang diberikan oleh mereka yang arif dalam ilmu Fiqah. Perbuatan mereka itu sudah tentulah melibatkan rasuah dan menganiayakan bakal haji yang lain yang sedang menunggu untuk mengerjakan haji sekian lama.

Merujuk kepada kes dan peristiwa ini menggambarkan bahawa sebelum pergi menunaikan Fardu Haji para bakal haji sangat perlu mendapatkan atau mempelajari ilmu Islam itu terlebih dahulu bukan sahaja khas mengenai haji malah mengenai Islam sebagai cara hidup itu perlu difahami supaya perkara ibadat ini tidak diuruskan seperti perkara adat yang di dalamnya tanpa roh tauhid .

Untuk meneruskan bacaan klik >>> Tabung Haji perkemas sistem data jemaah

Sekian...wallahu aklam.

 

Haj-haj-haj...Haji-haji...Toriiq - toriiq.

Salam semua.

Haj-haj-haj...haji-haji...tariq-tariq...Kalau kita berjalan di dalam atau di dataran
Masjidil Haram pada musim haji, kita sering terdengar perkataan yang tersebut. haj-haj bermaksud haji-haji, manakala tariq-tariq pula membawa maksud jalan-jalan. Ungkapan itu sering digunakan oleh pengawal yang bertugas di dalam dan di persekitaran masjid iaitu bertujuan memberi ruang atau memberi peringatan supaya para jamaah tidak menghalang laluan mereka yang sedang bergerak ke destinasi ibadat masing-masing, ungkapan ini juga digunapakai oleh mereka yang menghadapi laluan terhalang, kekadang penggunaannya sesuai dengan situasi dan terkadang tidak sesuai kerana yang meminta laluan itu dengan yang dituju cakap sama-sama bergerak menuju ke destinasi - ungkapan ini digunakan kerana hampir semua para bakal haji dari berbagai bangsa itu memahaminya.

Semua gambar di atas adalah dirakamkan di Lapangan Terbang Madinatul Hujjaj.


Di dalam Masjidil Haram.


Pada setiap musim haji semestinya berlaku kesesakan manusia di dalam dan di dataran Masjidil Haram , walaupun di dalam masjid dan di datarannya disediakan laluan khas untuk memudahkan para jamaah bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain, pada waktu solat terdapat juga para jamaah menunaikan solat di laluan khas itu, tiada masalah untuk berbuat demikain kerana pada ketika itu tiada lagi kesesakan sebab masing-masing menunaikan solat, asalkan selepas selesai solat hendaklah cepat-cepat mengosongkan laluan tersebut.

Tetapi yang peliknya dan menghairankan di antaranya terdapat para jamaah yang bersolat di laluan itu dan terus berwirid dan berdoa selepas solat tanpa bergerak ke tempat lain, menjadikan laluan itu tersekat apabila para jamaah mula bergerak semula selepas mereka selesai solat, terkadang mereka yang tidak pandai membawa diri ini dimarahi jamaah lain malah ada yang terkena rempuhan kecil seperti tersepak oleh jamaah yang tidak melihat mereka kerana terlindung dengan pejalan yang sedang bersesak dan bertali arus itu. Nasib baik jamaah haji Malaysia tidak termasuk dalam golongan mereka ini iaitu mereka tidak menjadi penghalang jalan.

Sekian...wallahu aklam.

 

Hari Pertama di Mina

Salam semua.

Kebetulan di Makkah kami tinggal di Hotel AL Syarouq J
alan Ibrahim Khalil kurang lebih 1 km jaraknya di antara Masjidil Haram dan hotel . Petang 8hb. Zulhijjah 1432 kami pun bertolak ke Padang Arafah, tiba di Arafah masih dalam waktu Asar, sesampai kami di persimpangan masuk ke khemah bakal Haji Malaysia, tiba-tiba simpang masuk ditutup dan pengawal jalan raya ( polis ) menyuruh pemandu bas kami memandu terus ke hadapan dan membuat pusing U, rupa-rupanya tempat pusingan U itu sangatlah jauh memakan masa lebih setengah jam baru sampai kembali di persimpangan tadi. Apabila kami sampai di simpang tersebut, peraturan berubah pula, semua bas boleh terus masuk dan tidak perlu lagi meneruskan perjalanan ke hadapan untuk membuat pusingan U seperti yang diarahkan kepada kami, oleh itu bas-bas yang datang kemudian sampai dahulu daripada kami, sepintas pandang menampakkan bahawa kumpulan petugas ini bekerja halai balai tanpa membuat perancangan terlebih dahulu, sikap seperti inilah yang menyebabkan jamaah Haji tercetus perasaan marah kepada petugas yang tidak tegas dan tiada perancangan awal serta kerja yang tidak proaktif.

Sesampai sahaja di khemah kami pun menunaikan solat Asar, kemudian mendapatkan lot tempat tinggal masing-masing, oleh sebab kami sampai agak terlewat, saya terpaksa menerima tempat berhampiran pintu khemah,namun demikian tiada apa-apa masalah yang timbul, rasa saya di Padang Arafah tiada masalah yang mengganggui, cuma gangguan suara dari Pembesar Suara ( PA Sistem), suara ceramah, selawat dan sebagainya yang terkadang mengganggui ibadat orang lain yang sunat dilakukan secara individu, mungkin
lebih baik penggunaan Pembesar Suara disederhanakan supaya tidak mengganggui mereka yang ingin membuat ibadat secara individu khasnya yang berbentuk menajat.

Selepas selesai kami berada di Padang Arafah mengikut tuntutan-Nya, kami bertolak pula ke Muzdalifah, selepas solat Maghrib di Padang Arafah kami bertolak pula ke Muzdalifah, cara naik bas untuk ke Muzdalifah ini agak mengecewakan kerana tiada peraturan dan tertib yang sepatutnya, Setelah sampai di Muzdalifah kami pun pergi ke tempat yang telah dikhaskan yang berupa petak-petak hamparan untuk duduk dan melelapkan mata sebelum bertolak pula ke Mina, setelah kurang lebih dua jam kami pun naik bas buat kali kedua untuk ke Mina, perjalanannya tidaklah mengambil masa yang lama, sesampai kami di Mina sekali lagi kami m
engambil tempat yang telah ditetapkan, di sini keadaannya agak sesak, baring bersentuhan dan berhimpet-himpet di antara satu sama lain, walaupun fizikal berhimpet-himpet ketika baring dan tidur , keadaan itu tidak pula menimbulkan masalah kerana kumpulan kami agak bersefahaman di antara satu sama lain dan sangat mesra serta hidup bantu-membantu.

Hari pertama Makan tengahari jam 4.30 petang.
Semasa makan tengah hari kami tertunggu-tunggu makanan, ada jamaah yang keluar pergi mengadu tetapi apabila mereka balik hasilnya petugas meminta mereka menunggu, tunggu di khemah itulah jawapannya, kami tunggu dan tunggu tanpa seorang pun petugas menziarahi untuk memberi penjelasan sesuatu supaya kami tidak tertunggu-tunggu, akhirnya kesabaran yang diharuskan atau disuruh itu terhakis kerana terfikir di hati sabar perlu ada hadnya dan tidak sampai hilang kualiti sebagai orang mukmin.

Selepas jam 4.00 petang saya menggugurkan sifat sabar itu dan bertindak keluar dari khemah dan menemui salah seorang petugas dan menghuraikan kelemahan pengurusan di pihak mereka yang mengendalikan makanan dan didengar oleh beberapa jamaah Haji yang lain, pada saya kelewatan jadual makan sehingga beberapa jam itu amat mendukacitakan, saya lihat ada dua faktor kelemahan yang berlaku pada hari pertama iaitu kelambatan kerja-kerja masakan dan ditambah pula dengan cara pengedaran yang acuh tak acuh sahaja oleh budak-budak suruhan tanpa pengawasan mereka yang lebih dewasa dan matang.


Hasilnya beberapa minit kemudian semua makanan sampai kepada ahli jamaah yang belum menerima makanan tersebut dan hari-hari berikut tidak lagi berlaku kelambatan tersebut, malah apabila makanan masuk ke khemah akan dipastikan semua jamaah dapat habuannya masing-masing kecuali mereka yang tidak memerlukan makanan tersebut.

Sekian...Wallahu aklam.

 

Program Himpunan Persaudaraan Hujjaj Musim Haji 1432H/2011M

Salam semua.

Program Himpunan Persaudaraan Hujjaj (HISHAJ) Jemaah Haji Musim Haji 1432H/2011M. yang telah diadakan pada 04 Rabiul Awal 1433 bersam
aan 28 Januari 2012 ( Sabtu ) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah , Shah Alam; Selangor.
video

Bacaan ayat-ayat suci dari ( Surah al.Baqarah ayat 197 - 202 ) oleh Sheikh Abdul Karim bin Omar salah seorang imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Terjemahan ayat yang dibaca ke bahasa Melayu.
[197]
(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).
[198]
Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.
[199]
Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[200]
Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.
[201]
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.
[202]
Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya.

_____________________________


Para jemputan Himpunan sedang mendaftarkan diri di
kaunter pendaftaran, kemudian menikmati jamuan ringan..Mendengar ceramah.
Berbaris untuk mendapatkan makanan.Makan tengah hari.

Perjumpaan ini berjaya menyingkap berbagai pengalaman dari para peserta yang hadir, mereka mencerita pengalaman masing-masing ketika mengerjakan Haji pada musim yang lalu sambil bersyukur di atas kejayaan menunaikan ibadat tersebut di samping berdoa agar mendapat haji mabrur dan juga berharap akan dapat menjijakkan kaki di Tanah Suci tersebut sekali lagi, sekurang-kurangnya untuk mengerjakan ibadat Umrah...amiin.

Sekian...Wallahu aklam.

 

Jom ...Dengar kuliah

Salam semua.


Jom..Kita pakat pi dengak kuliah Us.Azhar - Orang jauh pun mai oo...Kita yang dekat tak kan tak pi kot.

Jom..ajak la depa lain sama, seronok oo dia selit dengan lawak sama, mesti tak jemu punya, mesti meriah punya ni. Kena pi awai, mengkalu lambat, susah nak letak kegheta, tapi tak pa, nak cari ilmu punya pasai, kita kena korban sikit, bukan ka.


Oghang muda mesti timpa mai ghamai ni, depa suka sebab pendekatan ustaz ni agaknya sesuai dengan jiwa depa, baguih la noo, kalau oghang muda dah berjinak dengan ilmu Allah.


Sekian...Wallahu aklam.

 

Sejauh manakah kebenarannya kalau melanggar larangan Allah di Tanah Suci Makkah akan menerima akibat/balasan tunai?

Salam semua.

Sejauh manakah kebenarannya kalau melanggar larangan Allah di Tanah Suci Makkah akan menerima balasan tanpa tangguh ( tunai ) - persoalan ini selalu ditimbulkan oleh masyarakat kita sehingga memperlihatkan perbezaan yang amat jauh akibatnya itu berbanding dengan kesalahan yang dilakukan di tempat yang lain. Sehingga menjadikan ketakutan pula bagi sesetengah orang untuk mengeluarkan kata-kata, terutamanya di dalam Masjidil Haram. Soalnya adakah benar situasinya demikian.

Di Makkah juga terdapat ramai pencuri , perompak dan lain-lain kejahatan, ramai juga bakal Haji Malaysia yang kena seluk poket atau dirampas beg mereka dan mengalami kerugian yang tidak sedikit. Adakah penjahat dan penjenayah ini tidak menerima balasan tunai dari Allah, seandainya mereka ini menerima balasan buruk dari Allah secara tunai atau tidak ditangguhkan balasannya tentulah kejadian seperti ini tidak akan wujud berleluasa. Rasionalnya penjahat atau sesiapa sahaja yang melakukan kejahatan atau melanggar perintah Allah ada yang menerima balasan tunai dari Allah dan ada yang ditangguhkan azab balasannya ke suatu masa yang lain, mungkin sehingga tiba akhirat nanti. Rasanya inilah pegangan yang patut dihayati apabila kita mengunjungi Tanah Suci Makkah atau berada di mana-mana.

Kekadang terdapat kecendorongan orang kita mempercayai dan terbawa-bawa dengan berita atau kepercayaan yang dibawa dan diceritakan dari mulut ke mulut tanpa merujuk kepada mana-mana kitab yang disedut inti patinya dari al.Quran dan al.Hadith.

Tidak dinafikan berlaku juga peristiwa aneh dan balasan yang baik atau buruk yang menakjubkan kerana tempat ini adalah tempat istimewa bagi orang Islam dan ramai pengunjungnya, maka
Allah tunjukkan berbagai-bagai peristiwa yang berlaku di kalangan hambanya yang menjadi tetamu-Nya dan di sini juga tempat yang paling mudah doa dimakbulkan Allah.

Semasa penulis menunaikan fardu Haji pernah terserempak dengan bakal Haji dari Tanah Arab sendiri di mana wang mereka dicuri atau diseluk pencuri handal di Dataran Kaabah sedang mereka mengerjakan tawaf. Dua kali penulis terserempak dengan peristiwa di mana bakal Haji yang mengalami kehilangan wang bangun di tengah saf solat menceritakan kepada jamaah lain di sekelingnya tentang hal tersebut, akhirnya jamaah lain menghulurkan derma untuk meringankan kesusahannya . Peristiwa ini berlaku di hadapan dan berhampiran dengan Kaabah, Ini dua cerita yang penulis lihat sendiri, entah berapa banyak sebenarnya peristiwa seperti ini berlaku ...wallahu aklam.

Sekian...Wallahu aklam.

 

Komputer-Servis.

Komputer-Servis.com

Computers/Technology.


Basic Information

Founded
2011
About
Online Computer Repair Service
Description
Professional Online IT Computer Repair Service| IT help, support and repair. Komputer-Servis.com offer you online computer repair services for a very low price and best of all we can get start as soon as possible. We provide services such as Data Backup , Virus and Spyware removal, Computer and Internet Security , Speed Up Computer, Web Design and Troubleshoot your software problem.
Mission
Our mission is to provide a top notch online computer repair service to our customer with an affordable price .
Products
Virus and Spyware removal and prevention
Data Backup
Speed Up Windows
Computer and Internet Security
Windows Software and Problems
Website Setup and Design
Email
support@komputer-servis.com
Phone
Website

 

Sambutan Tahun Baru 2012 Masihi

Salam semua.

Berhibur dan bersederhana.

Aku tidak pernah keluar ke padang atau ke mana-mana untuk menyambut Tahun Baru Masihi tetapi pada tahun ini aku diajak oleh seorang kawan ke masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk mendengar ceramah dan menyambut Tahun baru yang dimaksudkan.

Bersolat Maghrib secara berjamaah di masjid dan bersolat sunat Tasbih bersama Us. Nurudin al.Banjari al.Makki, kemudian kami ke Dataran Merdeka Shah Alam berhampiran untuk mengikuti ceramah Us.Azhar Idrus dan berhibur dengan Kumpulan Kamikazi. Pada mulanya kami bercadang bersolat jamaah Isyak di dataran tetapi rupanya langkah kami terlambat sedikit, sebaik sahaja kami sampai mereka telah pun selesai bersolat, kelihatan ahli jamaah memenuhi padang dan dataran dengan kain sejadah masing-masing, suatu contoh yang baik dan elok diteruskan.

Antara individu yang menjayakan sambutan Tahun Baru kali ini ialah kumpulan Kamikazi, Us.Azhar Idrus, Zizan Raja Lawak, Aqil Hayy dan beberapa orang artis lagi, termasuk beberapa orang Yang Berhormat dari Pakatan Rakyat.



video

Regu Us.Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak sangat sesuai gandingannya, Elok zizan dijemput lagi untuk menjayakan program sebegini, dengan cara ini akan dapat menarik lebih ramai anak-anak muda mencebur dan melibatkan diri dalam majlis ilmu. Kehadiran malam tadi dianggarkan di antara 70/80 ribu penonton.

Pengisiannya amat sederhana sekali, namun demikian para hadirin dapat menimba ilmu disamping terhibur dengan gaya Zizan yang lawak dan Us.Azhar yang kekadang melucukan juga.

Sekian...wallahu aklam.

 

Do'a pagi.

Salam semua.

Do'a solat sunat Dhuha.


“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”






 

Gagak - Dalam bala ada hikmahnya.

Salam semua.

Jam 9.00 pagi tadi aku bersama keluarga ke Restoran Seksyen 3 Shah Alam set
elah selesai membeli barang keperluan aku pun lalu melintasi Restoran Gembira dan terpandang seorang anak muda bermain dengan seekor gagak, kelihatan gagak dan pemuda itu begitu mesra sekali sehingga menarik hatiku untuk bertanya sesuatu dan merakamkan gambarnya ketika aku memohon izin untuk merakan gambar gagak itu telah terbang dan hinggap di atas bumbung dan belegar di sekitarnya, Omar bersetuju untuk berbuat demikian,

Gagak berada di atas tiang eletrik.


Berpindah pula ke atas bumbung.

Akhirnya turun hinggap di lengan Omar

Gagak dilepas bebas dan tidak dipenjarakan di dalam sangkar.

Omar kelihatan riang bersama gagak peliharaanya.

beliau pun memanggil gagak kesangannya itu turun dengan membunyikan suara seperti suara gagak muda itu, tidak lama kemudian gagak muda itu pun turun hinggap di atas tangan Omar dengan manjanya sambil Omar memberinya makanan kegemarannya, ketika itulah aku bergegas menghampiri Omar dan merakamkan beberapa gambar untuk santapan anda.

Islam mendidik umatnya supaya mengamalkan sifat rahmah ( kasihan ) kepada haiwan atau unggas dengan menyarankan supaya penganutnya bertindak adil terhadap mereka, setelah aku mendengar cerita tentang kisah gagak muda ini, aku dapat menilai bahawa Omar adalah seorang yang mempunyai sifat tersebut iaitu rahmah dan ihsan kepada haiwan atau unggas dan bertindak adil terhadap mereka.

Kata Omar pada suatu hari beliau terjumpa anak gagak terlantar kesakitan di atas bumbung berhampiran tempat beliau membakar ikan untuk dijual, beliau adalah seorang pekerja Restoran Gembira. Oleh sebab terlalu kasihan di atas penderitaan anak gagak tersebut, Omar dan kekawannya menagmbil keputusan memeliharanya dengan memberi makanan yang memang makmur di restoran ini, saban hari Omar yang dibantu oleh kekawan memberi gagak makan dan minum, akhirnya anak gagak itu sembuh dan membesar sehinggalah kelihatan
seperti di rakaman photo di dalam laman ini.

Kini gagak peliharaan Omar tidak lagi bersusah payah mencari makan menyelongkar tong sampah atau mendapatkan habuan dari sisa-sisa makanan manusia, sebaliknya gagak peliharaan Omar setiap hari mendapat makanan segar atas ihsan Omar yang berterusan, itulah yang dikatakan di dalam bala ada hikmahnya.

Sekian...wallahu aklam.

 

Jamaah Bakal Haji Indonesia kesatuannya mantap.

Salam semua.

Hari ini aku ingin menceritakan apa yang aku lihat secara rambang terhadap jamaah haji Indonesia, mereka kulihat sangat mantap dalam menjaga keselamatan di antara satu sama lain terutamanya ketika bergerak dari tempat penginapan ke masjid atau ke lokasi jumrat, mereka sepanjang masa bergerak dalam kumpulan yang mantap ( langsung tidak berpecah ) dengan cara ini jamaah mereka terselamat daripada berlaku sesat jalan, ketika memerlukan talbiah dilaungkan, mereka akan melaungkannya beramai-ramai sepanjang perjalanan. Jamaah Turki juga berjalan dan bergerak secara kumpulan yang mantap.

Manusia berantai.
Bergerak secara kumpulan ini kekadang mengganggu jamaah lain kerana barisan mereka menjadi rantai yang menghalangi perjalanan dan pergerakan jamaah lain terutamanya di dalam Masjidil Haram dan di datarannya, apapun alasan kita tetapi untuk diri mereka itulah penyelesaian terbaik bagi menjaga keselamatan ahli jamaah mereka yang mungkin tersesat di dalam hutan belantara manusia itu.


Ramai sesat.
Berbanding dengan jamaah kita yang diuruskan oleh Tabung Haji ( muassasah ) ramai yang tersesat setelah berada di Masjidil Haram, Aku pernah melihat suatu kumpulan jamaah haji Malaysia yang baru tiba di hotel, kemudiannya akan bergerak ke Masjidil Haram untuk menyelesaikan tawaf dan Sae serta tahlul umrah atau tawaf qudum. Mereka berbaris di hadapan hotel penginapan dan diberi seorang budak pemandu jalan ke masjid dengan memegang bendera di tangannya ketika ini jamaah yang baru sampai belum sempat mengetahui di mana sebenarnya lokasi yang sedang mereka berada, belum sempat mendongakkan kepala mereka ke atas untuk melihat papan tanda atau bangunan yang berhampiran untuk mengingat dan mengetahui lokasi hotel penginapan mereka.

Bergerak laju.
Setelah semua yang terlibat masuk barisan maka budak yang mengepalai barisan pun bergerak laju tanpa membuat pertimbangan orang di belakangnya yang terkadang terhalang dengan kenderaan lalu lalang, dalam perjalanan kurang lebih 1km itu kalau tidak diuruskan oleh orang yang berpengalaman barisan yang bergerak itu akan berpecah dan terputus, akhirnya akan menjadi cerca merba semuanya. Kumpulan yang aku lihat ini tidak pasti apa pula yang berlaku terhadap diri mereka ketika sampai di masjid tetapi pada hari itu aku dan Kamal kawanku terjumpa beberapa orang lelaki dan perempuan mengadu mereka sesat dan tidak mengetahui di mana tempat penginapan mereka, nasib baik mereka memakai tanda nama yang tercatat nama hotel penginapan, mungkinkah mereka ini dari kumpulan tersebut , wallahu aklam, Beberapa orang yang sesat dirujuk kepada petugas Tabung Haji.

akan bersambung.

 

Guru kekadang dilayan seperti pelajar sekolah.

Salam semua.

Artikel ini akan menceritakan pengalaman diri sendiri dan juga apa yang berlaku pada masa kini. Guru digahkan di atas kertas sebagai insan yang mulia membakar diri menerangi orang lain. Setelah tiga buah sekolah saya berkhidmat dan telah berkhidmat selama 20 tahun, saya memohon tukar ke sekolah lain pula, bermakna semasa saya berkhidmat di sekolah baru ini perkhidmatan saya ketika itu telah masuk tahun yang ke 21.

Berkhidmat sebagai guru selama 20 tahun biasanya belum mencium rasa naik pangkat dan apa-apa keistimewaan, malah meja yang disediakan di Bilik Guru pun kekadang berkongsi dengan rakan sejawat, tidak seperti kerani dan pembantu pejabat di mana mereka mendapat meja khas, inilah sebenarnya pengalaman saya ketika memulakan khidmat di sekolah yang keempat pada awal tahun 1992, sesampai sahaja saya di sekolah ini saya diberi tahu oleh Penolong Kanan bahawa tempat duduk saya di Bilik Guru ialah di meja kongsi kerana meja guru tidak mencukupi dan saya berkongsi dengan empat guru, itulah meja yang patut digunakan semasa ketiadaan kelas dan menyelesaikan kerja-kerja perkeranian atau berehat menghilangkan penat selepas menyelesaikan pengajaran di dalam kelas, saya sangka hanya beberapa hari sahaja terpaksa berkongsi meja tersebut , Rupa-rupanya tiada tarikh akhirnya, akhirnya saya mengambil keputusan berpindah ke Surau Sekolah walaupun arahan menyatakan semua guru hendaklah ditempatkan atau patut berada di Bilik Guru bagi memudahkan pihak pentadbir menemui mereka jika ada sesuatu keperluan, saya berterus terang bahawa saya terpaksa berada di Surau kerana di sana lebih selesa berbanding dengan berkongsi meja di Bilik Guru,

Pada hemat saya guru tidak sepatutnya dilayan sedemikian, berlebih-lebih lagi guru yang telah lama berkhidmat yang pun mereka tiada apa-apa pangkat, mereka ini lebih cepat sensitif berbanding guru yang baru berkhidmat, Jelas saya telah berkhidmat melebihi 20 tahun ketika itu, layanan seperti itu dilihat tidak wajar, Pengetua/Guru Besar yang asalnya juga seorang guru biasa telah melupai usal-asalnya apabila beliau menduduki meja pengetua dengan melayani guru seumpama melayani anak murid atau seorang pelajar.

Kini di abad ke 21 pun guru-guru masih merungut dan menghadapi masalah yang sama , masih terdapat sebahagian daripada mereka tidak disediakan meja khas untuk mereka melaksanakan tugas dengan selesa, terutamanya bagi mereka yang bertugas di sesi petang. Sudahlah penempatan murid bagi setiap kelas mencecah hampir 40 orang, janji KBSR dan KBSM dalam hal ini tidak berjaya direalisasikan di mana murid-murid akan dikurangkan di dalam sesuatu kelas menjadikan jumlah maksimum 35 murid , ketidakselesaan itu ditambah pula dengan kenakalan murid yang semakin menjadi-jadi, apakah masih wujud ruang untuk guru mengharapkan keselesaan dan keseronokan menjadi seorang guru biasa, kalau layanan terhadap guru masih statik sejak dulu sampai kini. Sedangkan guru juga mengetahui layanan istimewa yang diterima oleh kekawan mereka di sektor awam yang lain.

Kalau dilihat dan dinilai secara perbandingan dengan negara lain yang lebih baik layanannya terhadap guru, kita akan dapati layanan kita yang sedia ada perlu dipertingkatkan lagi, kalau ditunggu lebih lama untuk dibuat rombakan atau perubahan ditakuti situasinya akan menjadi semakin rumit.

Sekian...wallahu aklam.

 

Makanan 1MALAYSIA


Salam semua.

Masih ada sedikit lagi serdak dan serpihan halus kisah dari Tanah Suci yang hendak aku ceritakan kepada anda khususnya mengenai pengalamanku di hotel penginapanku tempoh hari. Makanan 1Malaysia ( demikianlah tertera namanya diiklan dan terpapar juga di kantin hotel penginapan ) dipercayai individu dari Malaysia yang mengusahakannya tetapi kualiti dan kuantiti yang dijanjikan tidak sepertinya. Urusan penjualan pula diuruskan sebahagiannya melalui jualan kupon terlebih dahulu.

Gambar atau photo yang dipamerkan ketika menjual kupon memang menyelerakan tetapi apabila sampai di Makkah hakikatnya seumpama jauhnya bumi dengan langit, Bukan sahaja tidak enak dimakan tetapi harganya juga di luar dugaan dan sangkaan, harga secubit beehon goreng pun mencecah 3 Rial Arab Saudi,Nasi lemak bersama telur sebiji dan sambal dijual denga harga 5 atau 6 Rial, Indo Mee dijual dengan harga 2 Rial, pada minggu di mana jamaah datang semakin ramai dijual dengan harga 3 Rial.

Perniagaan ini persis mencekik darah para bakal haji, bakal haji tidak sebodoh itu sehingga tidak tahu menilai, mereka membelinya kerana tarpaksa, sambil membeli sambil menrungut di hati dan menilai akhlak peniaga yang menguat wang dengan rakusnya ketika pelanggannya terangkap dengan keadaan tertentu. Selama kurang lebih sebulan berada di sana aku hanya beberapa kali sahaja membelinya dari kantin hostel, selainnya aku akan membelinya di pasaraya yang berdekatan.


Sebenarnya aku tidak pernah sentuh "Indomie cup" semasa di Tanah Air tetapi apabila berada di Tanah Suci makanan ini menjadi makanan yang paling aku gemari, di sinilah bermulanya aku mengetahui rasa keenakan mie ini, pada mulanya aku melihat Lukman dan Kamal kawan sebilikku sahaja yang menikmati kelazatannya, kata orang tiada rotan akar pun berguna tetapi setelah aku makan aku tidak pula merasi makanan ini demikian, malah aku rasa makanan ini istimewa pula tetapi setelah aku balik barulah pepatah itu menjadi benar pula.

Dalam perjalanan balik ke Tanah Air kami disediakan tempat penginapan persinggahan di Madinatul Hujjaj sementara menunggu penerbangan, keesoakannya barulah kami diterbangkan ke Malaysia, makanan malam dan sarapan pagi disediakan, sebelum sarapan dihantar aku terasa lapar, mungkin kerana bangun terlalu awal, dengan tidak membuangkan masa aku pun bergerak menuju warung yang berada di dalam kawasan penginapan memesan teh tarik dan roti canai, roti canai harganya 5 rial manakala teh tarik aku tidak pasti harganya.


Sekian...wallahu aklam.

 

Ujian yang paling mencabar di dalam kehidupan manusia ialah "Nafsu"


Salam semua.

Pada hari ini aku tidak mempunyai apa-apa bahan untuk ditulis dan diposkan untuk umum. Kecuali aku menulis apa yang aku rasa dan aku fikir, mungkin orang lain tidak fikir seperti aku kerana mereka berfikir yang lebih baik lagi, aku hanya fikir sesuai dengan sembang-sembang di Kedai Kopi sahaja, wallahu aklam. Manusia dijadikan dari unsur fizikal dan rohani, bersamanya dibekalkan dengan akal dan nafsu.

Akal yang dibekalkan Allah untuk manusia boleh dibina dan majukan dengan pengajaran, pembelajaran dan pendidikan supaya ianya lebih mantap dan pintar membuat sesuatu keputusan berkaitan dengan kehidupan. Allah menjadikan manusia itu berbeza-beza di antara satu sama lain. Semuanya itu menunjukkan kekayaan dan Maha Bijaknya Allah Taala. Terdapat manusia yang mempunyai akal yang pintar dan mudah memahami sesuatu dengan cepat, keadaan ini berterusan dalam keturunannya menjadikan anak cucu juga cerdik dan pintar, Islam menggalakkan perkahwinan dengan keluarga yang jauh atau bukan dengan keluarga supaya kebaikan itu dan lain-lain kebaikan berkembang dengan baik, percampuran di antara yang akal kurang baik dengan orang yang akal lebih baik akan menjadi lebih baik keturunannya.Orang yang tahap akalnya sederhana atau lemah boleh ditingkatkan keupayaannya dengan cara perkahwinan tetapi fitrah dan lumrahnya adalah dengan pendidikan.

Nafsu yang dibekalkan kepada manusia juga tidak sama di antara seorang dengan seorang yang lain, nafsu inilah mendorong manusia menjadi baik atau jahat, banyak juga jenis nafsu yang Allah masukkan ke dalam diri manusia di antaranya Nafsu Amarah, Lauwamah. Muhamah, Mutmainnah, Radziah, Mardiah dan kamiliah, untuk mengetahui lebih lanjut kini boleh dicari dari google, aku tidak berhajat hendak memberi huraiannya di sini kerana aku juga kurang faham secara mendalam. aku hanya akan menulis secara langsung apa yang sedang aku fikir sahaja. Seingat aku nafsu yang mendorong kepada kebaikan ialah nafsu mutmainnah, Radziah, Mardiah dan kamaliah, kamaliah adalah yang tertinggi maqamnya. ( untuk tambah pengetahuan carilah dari google )

Bagi mereka yang kuat nafsu makan maka akan sentiasa berfikir mengenai masakan atau makanan, mereka yang kuat inginkan kemyasyuran mereka akan sentiasa berusaha untuk mendapat pangkat atau kedudukan di dalma mayarakat. bagi mereka yang kuat nafsu sex pula akan banyak berfikir mengenai sex, demikianlah seterusnya bagi mereka yang lain , walau bagaimana pun Allah menyediakan cara untuk mengelak atau mengurangkan keinginan itu supaya tidak membawa keburukan kepada manusia, iaitu dengan banyak mengingatkan Allah, setelah mengingatkan Allah manusia sekurang-kurangnya akan rasa takut melakukan kejahatan yang besar kerana memikirkan akibat daripada perbuatan tersebut, mereka yang ingat Allah melakukan kejahatan dalam keadaan perasaan yang bercampur baur antara berani dan takut oleh itu mereka tidak akan melakukan dosa yang besar. Setiap manusia ada dosa kecuali Rasul sahaja maksum ( tiada dosa ). Berbeza dengan mereka yang melupai Allah, mereka yang tidak ingat Allah berkemungkinan melakukan kejahatan dan keterlanjuran yang lebih serius dan tanpa had, Inilah senario yang terdapat di dalam masyarakat walaupun di mana kita berada.

Manusia tanpa nafsu tidak akan dapat memajukan dunia ini ataupun diri sendiri kerana nafsulah yang mendorong sesuatu supaya dibuat dan dikerjakan dengan pertolongan akal, kerja itu akan dibuat dan dibina sehingga sempurna, Tugas akal perlu mempertimbangkan di antara baik dan buruk dan memikirkan akibat dikemudian hari kalau melakukan sesuatu yang tidak sesuai tetapi akal kekadang kalah, lain yang diputuskan oleh akal lain pula yang dibuat dan dilaksanakan , keadaan ini bermakna nafsu telah mendapat kemenangan,Situasi begini nafsu jahatlah yang menguasai keadaan, iaitu Nafsu Ammarah bissuk (
Nafsu yg tunduk dan patuh menurut kehendak syahwat dan syaitan. nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan ) mengatasi akal yang masih waras tetapi beralah. Sebagai contoh mengumpat itu diketahui akal bahawa perbuatan itu adalah salah tetapi manusia terus menerus mengumpat di antara satu sama lain, demikian juga mencuri, memfitnah dan perbuatan jahat lain yang seumpamanya.

Takun belajar, bekerja dan tekun beribadat juga terdapat unsur nafsu di dalamnya, akal dan nafsu disepadukan dengan harmoni maka terhasillah sesuatu yang baik dan bermanfaat. Tanpa nafsu kehidupan manusia akan menjadi seperti malaikat, hidup statik, tidak kreatif, demikianlah Maha bijaksana Allah mencipta sakalian alam ini.


Semua yang dinukilkan itu adalah ujian Allah kepada manusia di dunia ini, tiada siapa yang terlepas dari ujian yang paling mencabar ini, setiap individu perlu sentiasa berwaspada supaya keterlanjurannya tidak jauh ke jurang yang merugikan, selain daripada usaha, doa merupakan senjata yang paling berkesan untuk mengelakkan keburukan dan menambahkan kebaikan.

Sekian...wallahu aklam.

 

Di atas permukaan Tanah Suci terdapat juga kekotorannya.

Salam semua.

Hendak menghuraikan perangai jutaan manusia tentulah tiada siapa mampu membuatnya tetapi artikel ini aku ingin menceritakan sebahagian kecil apa yang kutemui, kulihat dan kualami. Mereka yang akan ke Tanah Suci janganlah pergi dengan ilmu yang dapat dari berbagai sumber yang tiada kesahahannya.
Cerita mulut ke mulut yang belum tentu kenyataan dan kebenarannya perlu dipertimbangkan sebelum mempercayainya. Mereka perlulah sepadukan dan mantapkan ilmu Tauhid dan Fiqah sebelum ke sana, Setiap orang Islam wajib mempelajari subjek tersebut sejak zaman kanak-kanak dan berterusan sehingga alam dewasa.

Terdapat juga di kalangan bakal haji terbawa-bawa dengan cerita yang tidak sohih itu ke tanah suci sehingga takut hendak mengeluarkan perkataan-perkataan tertentu, kononnya kalau merungut tidak sihat , maka akan tidak sihat terus menerus dan lain-lain yang disangka akan memerangkap mereka, sedangkan terdapat bakal haji yang wang mereka
dicuri dan rampas , apakah penjahat itu akan menerima akibatnya dengan segera atau adakah penjahat Melayu sahaja yang menerima balasan atas kejahatan yang mereka lakukan dengan segera, sebenarnya itu semua adalah kepercayaan segelintir orang Melayu yang tidak pun disebut di dalam mana-mana kitab, kejahatan yang dilakukan di Tanah Suci sama juga seperti yang dilakukan di mana-mana di dunia ini iaitu ada yang menerima balasan jahat itu di dunia dan ada yang Allah tangguhkan balasan sehingga ke akhirat. tetapi kebaikan yang dilakukan di Tanah Suci atau di Masjid Nabawi dan Masdil Haram pahalanya berlipat ganda, perkara ini ada disebut di dalam Al.Hadis.

Berbalik kepada kisah kekotoran atau kejahatan di Tanah Suci. Semasa perjalanan pulang dari masjid menuju ke hotel tempat penginapan di sana sentiasa sahaja bersesak-sesak di jalan raya, kalau tidak berhati-hati poket akan diseluk dan dicopek atau beg akan diragut oleh penjahat yang tidak dikenali berkeliaran di celah-celah orang ramai, ramai penjahat ini di kalangan wanita berpakaian serba hitam,ada yang datang menghimpet rapat kononnya meminta sedakah dengan menyebaut sedeka-sedekah dan sabil-sabil. dalam keadaan mangsa terpinga-pinga dengan sikapnya, poket mangsa diseluknya dengan secepat kilat dan cabut lari dicelah-celah orang ramai, kerugian cara ini sering dialami bakal haji .( mungkin perkara ini tidak ditekankan oleh penceramah Kursus Haji ), peminta sedekah di kalangan kanak-kanak juga ramai, mereka hampir semuanya tangan kudung, ada yang dibuat supaya kelihatan kudung, ramai mengesakki mereka ini adalah dijagai oleh sendikit jahat. Pengetahuan dan maklumat seperti ini perlu diketahui oleh bakal Haji sejak mereka belum bertolak lagi, sesiapa yang menyangka di sana sentiasa aman daripada kejahatn ini risikonya kemungkinan menerima kesusahan dan kesengsaraan lebih besar berbanding dengan orang yang sentiasa bersedia dan berwaspada.

Berbalik kepada pentingnya memiliki ilmu yang sepadu di antara Tauhid (Aqidah) dan Fiqah, terutamanya oleh bakal haji, mengenangkan perkara ini aku rasa terkejut apabila diberitahu oleh kawan bahawa terdapat beberapa orang bakal haji yang datang mengerjakan haji secara percuma yang ditaja oleh pihak tertentu sedang belajar cara-cara mengambil wuduk dan bersolat oleh kekawan yang tinggal berhampiran mereka, aku terperanjat dengan situasi ini. aku rasa cerita ini bukan rekaan kerana kehadiran mereka pun dari daerah yang sedia maklum tentang kelemahan ini...apa pun wallahu aklam
.

Ramai juga di kalangan bakal haji tidak akur dengan pesanan Rasul.s.a.w. supaya sentiasa menjaga kebersihan kerana kebersihan itu juga sebahagian daripada iman. Sampah di buang sesuka hati oleh setengah pihak atau kaum dan bangsa yang belum terdidik dengan budaya menjaga kebersihan, kerja-kerja membersih oleh pihak yang berwajib pun kurang memuaskan, ianya kelihatan lebih tertumpu di dalam masjid dan di datarannya sahaja. Kawasan lain yang menjadi jiran kepada masjid agak terabai. Di halaman hotel penginapan pun kurang memuaskan kebersihannya tahap kualitinya masih rendah. Seolah-olah kehadiran bakal haji tidak disambut , dihormati, dialu-alukan dan juga tidak diraikan.

Keagungan dan kemuliaan Masjidil Haram tetap unggul kerana itu adalah rumah Allah. Apa yang diceritakan di sini adalah kelemahan orang Islam atau pihak yang menerima amanah menjaga masjid itu dan persekitarannya supaya masjid itu dilihat ianya mempunyai cahaya dan sinar sehingga dapat dimanfaatkan oleh mereka yang berada di persekirannya.


Sekian...wallahu aklam.

 

Perasaan ketika menjejak kaki di Tanah Suci Makkah.

Salam semua.

Dalam perjalanan ke Tanah Suci Makkah mempunyai pilihan sama ada pergi ke Makkah atau ke Madinah terlebih dahulu. Semasa mengisi borang yang disediakan oleh Tabung Haji , kami suami isteri memilih ke Madinah terlebih dahulu kerana ketika itu aku terasa di hati ini ingin menziarahi Rasulullah. s.a.w terlebih dahulu sebelum mengerjakan Haji iaitu suatu ibadat yang terakhir yang disampaikan baginda supaya ditunaikan sekiranya ada kemampuan.

Bagindalah yang menyampaikan segala ajaran Allah kepada kita sehingga umatnya terkeluar dari kegelapan kepada cahaya yang terang menerang dapat menyuluh kehidupan di alam ini, lantas terselamat dari kesesatan.

Atas jasa dan ingatan itulah aku ingin sangat menziarahi baginda terlebih dahulu. Alhamdulillah Tabung Haji mengaturnya seperti kami kehendaki, maka terbanglah kami ke Madinah terlebih dahulu, rupanya cara ini sememangnya dapat memberi kekuatan kepada kami untuk meneruskan perjalanan ke Makkah .

( Sedang aku menulis artikel ini aku rasa terharu, gembira , dan sedih bercampur baur sehingga air mata kasihku kepada Rasulullah.s.a.w. mengalir memenuhi kelupak mata dan keluar membasahi pipiku tanpa disedari kerana mengenangkan jasa baginda yang amat besar kepadaku dan sebahagian perintahnya aku lalai dan tidak mampu mematuhinya seperti yang dikehendaki )


Aku juga rasa pilihan tersebut tepat dan berbaloi, kami memang dapat mengukuh dan menyediakan diri sepenuhnya dari segi emosi atau rohani, sepuluh hari di Madinah berpeluang bersolat hajat, tegasnya berqiamullail memohon kekuatan dan dipermudahkan urusan ibadat haji nanti, kalau di Madinah kami ditempatkan hanya kurang lebih 300 - 400 meter jaraknya dari Masjid Nabawi .

Sebaliknya di Makkah kumpulan kamilah yang paling jauh berbanding dengan tempat penginapan kumpulan lain yang pergi melalui Tabung Haji (Muassasah), aku anggarkan tidak kurang 3km berulang alik ke Masjidil Haram dikira setiap langkah sehingga sampai balik ke hotel, kalau sehari dua kali ke Masjid berarti kita terpaksa berjalan 6km, pada dua minggu selepas sebaik sahaja sampai aku berulang ke masjid 3 kali sehari dan minggu berikutnya hanya dua kali sahaja, dalam kesusahan itu aku mendapat kebaikan turun berat badan sebanyak 5kg menjadikan berat badanku normal sesuai dengan ketinggianku , kini aku masih mempertahankan berat badan tersebut, makan sekadar hilang lapar sahaja, sifat makan berseronok-seronok terpaksa dikikis dan dibuang, sekali sekala membuat senaman pada waktu petang.

sebelumnya aku rasa bimbang akan kesihatanku yang tidak cukup senaman untuk bergerak aktif di Makkah nanti, selain itu seperti aku pernah ceritakan di dalam laman ini bahawa aku sebenarnya seorang pengidap migrain pada suatu ketika dahulu. Aku bimbang ianya akan berulang semula ketika di sana nanti, sekali sekala ketika di sini sebelumnya memang sakit kepala ada juga mengganggu aku. Alhamdulillah ketika aku di Tanah Suci tidak
diganggui sakit kepala walaupun sekali kecuali batuk-batuk seperti kekawan lain.

Berulang alik ke masjid ketika di Madinah secara tidak disedari aktiviti itulah menjadi senaman persediaan melancarkan aktiviti haji di Makkah, badan tidak lagi sakit walaupun terpaksa berjalan kaki jarak jauh, apa tidaknya ketika di Mina kami ditempatkan di khemah yang jaraknya dengan jumrah ( jumrat ) kurang lebih 3km, pergi dan balik berjumlah 6km, dalam jangka masa selama tiga hari itu bermakna kami berjalan kaki sejarak 24km. Dalam ibadat haji persediaan fizikal amat penting dan perlu dirancang awal untuk mengelakkan terganggunya kerja haji tersebut.

Sebenarnya aku rasa serba salah hendak menceritakan pengalamn ini, maklumlah ini adalah kerja ibadat takut nanti timbul riak dan bangga diri, walaupun asal niat di hati ialah hendak memanfaatkan pengalaman ini kepada mereka yang memerlukan atau berdakwah tetapi rasa bimbang itu masih wujud kerana takut-takut terpesong niat tersebut.

Artikel berikut akan muncul........

Sekian dahulu....Wallahu aklam.

 

Perasaan semasa menjejak kaki di Tanah Suci Madinah... Ilham dari "Shoutbox"

Salam semua.

Aku terbaca tulisan atau mesej dari salah seorang anak muridku bertanyakan hal yang dinukilkan seperti di atas dan lantas aku jadikan sebagai tajuk artikel ini, agaknya aku pun kehabisan idea dan ilham untuk terus menulis. Nasib baik "Shoutbox" mencetuskan ilham ini. Aku katakan padanya bahawa aku tidak pandai menghuraikan perasaan itu, kelainan perasaan memang berlaku pada kebanyakan mereka yang menjejakkan kaki mereka di kedua-dua Tanah suci tersebut atau alharamain - Makkah dan Madinah -
melalui artikel ini aku akan cuba ingatkan semula apakah yang aku rasa ketika aku menjejakkan kaki di Tanah Suci Madinah pada petang Ahad 4 Zulqaedah 1432 / 2. Okt. 2011 yang telah berlalu. Ketika sampai di Lapangan Terbang Madinah aku rasa letih tetapi tidaklah letih sangat, bersolat Asar dan Zohor secara jamak takkhir di sini, solat Subuh telah ditunaikan di Surau Tabung Haji Kelana Jaya.

Tidak sampai setengah jam kami menunggu di lapangan terbang, bas pun telah bersiap sedia membawa kami ke hotel penginapan kami yang telah ditempah oleh pihak Tabanug Haji, sesampai sahaja di hotel memang terasa kelainan suasana hutan batu di bandaraya bersejarah ini, hotel terletak kurang lebih 300-400 meter sahaja jarak dari masjid, sampai di hotel waktu Maghrib telah pun masuk, aku Rosle dan Lukman bersolat jamaah di hotel ketika itu Kamal belum sampai ke bilik lagi, di Madinah kami tinggal di hotel Holiday Villa.Ketika ini perasaan aku belum dapat dipastikan lagi sama ada ceria atau apa-apa.

Setelah makan malam kami berempat, Kamal, Rosle, Lukman dan aku bergerak ke masjid, bergerak sedikit sahaja dari hotel Masjid Nabawi telah pun kelihatan jelas, pada masa ini baru timbul rasa berbagai-bagai, gembira, terharu, teruja dan sedih, sedih kerana kehadiran aku tidak mungkin bertemu wajah dan bertentang mata dan berbicara dengan Rasulullah.s.a.w , walaupun baginda bersabda bahawa sesiapa yang menziarahinya semasa baginda telah wafat sama juga seperti baginda masih hidup.

Di hati memang terasa seolah-olah baginda masih hidup, setelah masuk ke dalam masjid bertambah lagilah perasaan terharu itu bermain-main di minda.Terdetik di hati kerana bagindalah yang menyebabkan aku sampai di sini, kalau tidak, tiada sebab aku sampai di bumi Madinah ini.

Semasa di Madinah kami bersolat jamaah di Masjid Nabawi pada setiap waktu kerana kedudukan hotel yang berhampiran dengan masjid tidak menjadi kesusahan untuk kami ke masjid pada setiap waktu. Selama 10 hari kami berada di Madinah. Bersolat di Masjid Nabawi terasa lebih khusyuknya kerana terasa seperti kita berada bersama Nabi Muhammad.s.a.w., berlebih-lebih lagi kalau kedudukan tempat solat kita itu berhampiran dengan makam baginda dan ditambah pula imam membaca ayat-ayat yang boleh mencuit perasaan, t
erutamanya bagi mereka yang faham bahasa Arab atau bahasa al.Quran akan lebih khusyuk dan terharu sehingga menitiskan air mata , ada yang sebak, sedu sedan sehingga bergegar seluruh badan. Berlaku demikian ekoran dari berbagai sebab, mungkin menyesal atas kesilapan yang lalu, bersyukur di atas nikmat Islam yang sedang dinikmati berbanding dengan orang lain yang masih ramai belum mendapat hidayah dan taufiq dari Allah Taala atau terasa ketidakmampuan menunaikan perintah Allah sepenuhnya. Semua unsur itu boleh menyebabkan kita rasa terharu dan sedih.

Sekian...wallahu aklam.

 

Muka kering, tapak kaki dan bibir mulut merkah.

Salam semua.

Aku menulis artikel ini semata-mata untuk menyampaikan informasi kesihatan kepada mereka yang belum mengetahui tetapi memerlukan rawatan bersabit dengan perkara di atas. Bagi mereka yang akan ke Tanah Suci Makkah info ini sangat penting dan berguna untuk mereka, terutamanya yang akan tinggal lama di sana.

Cuaca panas akan menyebabkan perkara yang disebutkan di atas akan berlaku, khasnya mereka yang tidak biasa dengan keadaan itu, iaitu muka kita akan kering, tapak kaki akan merkah atau pecah, lebih teruk lagi apabila bibir mulut turut merkah ianya boleh menyebabkan rasa sakit semasa makan dan minum.


Pada tahun 60an di Malaysia juga ada ketikanya berlaku musim panas dan kering, iaitu kita kenali sebagai musim kemarau atau musim menuai pada zaman itu. Kemarau ini berlaku di bahagian utara iaitu Perlis, Kedah. Pulau Pinang dan Perak utara. Pada masa ini tidak lagi berlaku cuaca sedemikian kerana cuaca panas itu diimbangkan dengan air yang terdapat di dalam Perairan Sungai Muda atau di dalam petak bendang yang telah diairkan untuk tanaman seterusnya, walaupun cuaca panas tetapi panas itu dikendurkan oleh wap-wap air tersebut oleh itu kes merkah tapak kaki dan bibir mulut tidak lagi berlaku berleluasa seperti zaman tersebut.Walau bagaimana pun masih terdapat mereka berkulit kering, kulit muka dan kepala berkeruping atau berkerak.

Bagi mereka yang belum mengetahui cara mengatasinya, ambillah minyak zaiton dan sapu sahaja di bahagian yang dikehendaki iaitu sama ada di kaki, bibir atau muka. Insya Allah bahagian tersebut akan lembab dan lembut dan tidak akan merkah lagi serta akan kelihatan cantik dan bersih. ( amalkan setiap malam )

Sekian...wallahu aklam.

 

Selamat Datang ke Kehidupan Bersih

Terima kasih kerana sudi melawat blog saya. Janganlah segan silu untuk jenguk-jenguk hasil penulisan dan pendapat saya. Dan sudah tentu saya juga ingin mendengar pendapat anda, jadi janganlah lupa untuk memberi komen.

Mari Berbicara

Related Posts with Thumbnails

Kategori

 


Link to this page (copy/paste into your own blog):

Tentang Penulis

Followers

Firefox

Anda dinasihatkan supaya menggunakan Mozilla Firefox untuk melayari blog ini. Firefox 3

Status


Telah dilawat sebanyak:
hit counters

Pelawat datang dari:

Blog Archive